Benar kata orang. Apabila cinta terhadap manusia sudah menguasai hati, kita mudah diperangkap oleh tipu daya dan muslihat syaitan untuk menyesatkan manusia. Hati yang dahulunya mengatakan "cinta kerana Allah SWT" perlahan-lahan diulit tipu daya dan muslihat syaitan.
Cinta sebelum kahwin sememangnya mampu mengundang kepada lembah penzinaan. Hati mula lalai terhadap suruhan dan perintah Allah. Perlahan-lahan hati ini ditipu oleh syaitan. Niat pada awalnya ingin membimbing seorang wanita perlahan-lahan hanyut ke lembah penzinaan.
Puas ibu menasihati agar menjaga tingkah laku dan perbuatan apabila keluar bersama teman wanita yang aku merasakan kononnya bakal menjadi menantu kepada ibu. Solat yang pada dahulunya dilakukan pada awal waktu mula berubah kepada penghujung waktu kerana leka dengan berbalas pesanan mesej ringkas. Majlis-majlis agama yang dahulunya dihadiri mula ditinggalkan kerana ingin ber-chatting dengan teman wanita di laman sosial.
Tiada lain yang difikirkan melainkan hanya teman wanita sehinggalah pada suatu tahap hati ini mula sesak dengan desakan nafsu dan dosa. Percintaan yang pada dahulunya indah mula berubah menjadi hambar. Pergaduhan kerap berlaku yang akhirnya membawa kepada perasaan cemburu yang meluap-luap.
Syaitan benar-benar telah berjaya mengambil alih hati ini untuk dikuasai. Tiada lagi ayat-ayat Al-Quran yang dahulu kerap diamalkan. Hidup menjadi tidak tenang. Terasa seperti ada dua aliran di dalam hati. Hati ini semakin sesak dan lemas dengan dosa-dosa yang dilakukan.
Aku tekad untuk memutuskan hunungan yang sudah terjalin selama dua tahun ini kerana Allah Taala. Aku tidak mampu lagi hidup dengan penuh dosa dan noda. Jauh di sudut hati, ini bukanlah cinta yang diredhai Allah. Jauh sudah aku tinggalkan seorang wanita yang pernah hadir dalam diri aku. Aku membawa diri jauh daripada "lembah kemasyhuran" yang pernah aku tempuhi suatu masa dahulu.
Biarlah aku bersendiri daripada hidup penuh dengan noda dan dosa. Tidak susah bagi aku untuk kembali kepada yang Maha Esa. Kini aku melihat kawan-kawan lain "berbahagia" bersama pasangan luar nikah masing-masing tetapi aku merasakan lebih bahagia bersama-sama dengan Allah SWT yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Benar kata orang. Allah knows what's best for us! Ada sebab mengapa Allah menyuruh kitamenjauhi zina. Allah SWT berfirman:
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)."
(Surah al-Israa', ayat 32)
Wallahu'alam.
source: http://www.iluvislam.com/tazkirah/remaja-a-cinta/4845-benar-kata-orang.html